الخميس، 9 أبريل 2009

Kawal pernafasan dari perut


EMOSI dapat dikawal jika seseorang bernafas dengan betul.


SEBAIK saja keluar dari bilik mesyuarat, kepala Zaril mula berserabut dengan pelbagai tugasan baru yang diberikan oleh ketuanya.

Nafas yang dihembus, tersekat-sekat, seolah-olah ada yang menekan dadanya tatkala melihat timbunan kerja di atas mejanya.

Zaril segera bangun lalu cuba mengatur semula pernafasan sambil menenangkan diri. Beberapa minit kemudian kepalanya yang terbeban terasa ringan.

“Tekanan kerja, persekitaran malah dalam keadaan biasa pun, ramai orang yang sering terlupa bagaimana perlunya bernafas dengan betul,” ujar seorang pakar pernafasan, Dominique Lonchant.

Jelasnya lagi, pengawalan pernafasan yang betul dapat memastikan pembukaan saluran udara yang sempurna serta kapasiti udara yang memasuki paru-paru adalah maksimum.

“Pengawalan pernafasan mempunyai empat bahagian utama iaitu di bahagian perut, tekak, sisi dada dan pernafasan secara keseluruhan,” katanya sambil menunjukkan cara yang betul menghembus dan menarik nafas menggunakan hidung.

Menurut Dominique, kebanyakan kita gemar ‘menelan’ nafas yang sekali gus menyebabkan banyak elemen negatif masuk ke dalam tubuh.


TEKNIK pengawalan pernafasan harus diketahui semua orang.


“Pernafasan yang perlahan juga membuatkan udara yang disedut tidak sampai ke paru-paru ketika proses menyedut dan menghembus

Kerana itu, Dominique menegaskan pengawalan pernafasan harus diketahui oleh semua orang, terutama dalam keadaan yang tertekan.

“Sebagai contoh, pernafasan yang dikawal melalui perut mampu membetulkan sistem pencernaan, buah pinggang, hati serta perjalanan darah,” katanya.

Di samping itu, pernafasan clavicular iaitu pernafasan yang memberi tekanan di bahagian bawah ketiak juga dibuktikan dapat mencegah kanser payu dara di kalangan wanita.

“Manakala pengawalan yang dilakukan menerusi tekak pula membantu memulihkan sistem jantung termasuk menguatkan organ tersebut,” kata Dominique yang berasal dari Perancis.

Cerita Dominique, pengalamannya mengajar beberapa orang penyanyi mengenai pernafasan yang betul telah banyak membantu mereka dalam sesuatu persembahan.

Bukan sekadar itu, bagi amalan biasa, aturan pernafasan yang betul juga dapat mengelakkan seseorang itu daripada perasaan malas terutamanya pada waktu pagi.

“Kadar oksigen yang kurang pada waktu pagi menyebabkan rasa kemalasan itu cukup tinggi dan menerusi senaman pernafasan ini, aliran darah serta oksigen akan lebih pantas bergerak,” katanya.

Jelas lelaki yang berpengalaman hampir 28 tahun mengajar teknik ini di seluruh dunia, penyakit seperti asma, gemuruh dan sesetengah alahan berpunca daripada cara bernafas yang salah.

Lebih daripada itu, emosi juga dapat dikawal dengan lebih baik sekiranya aturan pernafasan seseorang itu berada dalam keadaan sempurna.

“Sekiranya kita sukar untuk bernafas, tidak selesa dengan udara yang keluar masuk ke dalam tubuh, secara tidak langsung, ia turut mengganggu mood dan emosi. Ini akan membuatkan seseorang itu mudah marah, rasa tertekan dan bermacam lagi,” ujarnya

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm.

0 التعليقات: